Nguyen Thi Kim Oanh mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dihadapinya.
Tertuduh Nguyen Thi Kim Oanh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown atas dua pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian remaja lelaki.
PETALING JAYA:
Seorang wanita warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown atas dua pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki dan mencederakan seorang lagi, bulan lalu.
Tertuduh, Nguyen Thi Kim Oanh, 40, membuat pengakuan itu sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi, lapor Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memandu kereta Honda Jazz atas pengaruh minuman memabukkan hingga tidak berdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya sehingga menyebabkan kematian mangsa, Thomas Ch’ng Kai Hen, 18, di Jalan Jelutong, kira-kira jam 9.48 malam pada 19 Feb lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun hingga 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 atau tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa atas kesalahan sama sehingga menyebabkan kecederaan seorang lagi mangsa, Ooi Qi Heng, 18, di lokasi serta waktu sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman tidak kurang tempoh tujuh atau maksimum 10 tahun dan denda minimum RM30,000 atau tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam bela, K Mahendran, selain turut dihadiri peguam pemerhati, Andy Ooi dan RSN Rayer sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).
Terdahulu, Darrshini memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan, selain memohon lesen memandu tertuduh digantung dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, K Mahendran memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya adalah ibu kepada tiga orang anak serta ditanggung suami yang bekerja sebagai penjaja.
Rayer kemudian meminta kebenaran mencelah dan memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan disebabkan status tertuduh sebagai warga asing, selain mengenakan syarat ketat sekiranya dibenarkan ikat jamin.
Menurutnya, kepentingan awam perlu diambil kira memandangkan kedua-dua mangsa adalah warga tempatan yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan serta memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah selain lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
2025-03-27T07:50:00Z
Source: freemalaysiatoday