PUCHONG — Seorang lelaki warga Indonesia melarikan diri selepas lori sampah yang dipandunya terbabas dan merempuh tembok di Plaza Tol Puchong Selatan petang semalam, menyebabkan kelindannya, seorang warga Bangladesh, cedera.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang, melibatkan sebuah lori Isuzu seberat 10 tan yang sedang dalam perjalanan dari Putrajaya ke Bukit Puchong.
“Selepas kemalangan berlaku, pemandu lori dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian, manakala kelindan mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, polis kini giat mengesan suspek, dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-301 2621.
