Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (dua, kiri) bergambar ketika melancarkan aplikasi Gemilang MBSJ (Helo Subang Jaya) pada Anugerah Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBSJ 2024 di Hotel Sunway Resort, Subang Jaya pada 18 Januari 2025. Hadir sama Ahli Parlimen Subang Wong Chen Ahli (kiri), Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (kanan) dan ADN Seri Kembangan Abbas Salimmi Che Adzmi. Foto Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya.
SHAH ALAM, 19 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melancarkan aplikasi Gemilang MBSJ (Helo Subang Jaya) dalam usaha memacu pelancongan pintar sempena kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Bahagian komunikasi korporat MBSJ berkata aplikasi berkenaan menyediakan panduan buat pengguna untuk mendapat informasi mengenai destinasi pelancongan, acara utama dan promosi di bandar raya Subang Jaya.
“Ia membolehkan pengguna merancang jadual perjalanan secara efisien penyediaan jadualperjalanan, tempahan penginapan, makanan dan pengangkutan dalam talian.
“Platform ini menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk berbelanja secara dalam talian dan memperkukuh elemen komuniti digital,” katanya menerusi kenyataan.
Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (tengah) melakukan gimik pelancaran aplikasi Gemilang MBSJ (Helo Subang Jaya) pada Anugerah Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBSJ 2024 di Hotel Sunway Resort, Subang Jaya pada 18 Januari 2025. Foto Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berharap aplikasi Hello Subang Jaya mendapat sambutan daripada komuniti setempat bagi memperkukuh bandar raya berkenaan sebagai destinasi pelancongan pintar yang mendukung inovasi dan kelestarian.
Aplikasi boleh dimuat naik melalui induk ‘Gemilang MBSJ’ dari Google PlayStore atau Apple AppStore.
Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran lapan juta pengunjung ke Selangor tahun ini dengan catatan transaksi RM11.7 bilion sempena TMS2025.
TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk ekopelancongan, agro, seni dan budaya.
2025-01-20T16:00:00Z
Source link: Selangorkini