PUCHONG, 6 Dis Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menyertai operasi bersepadu bagi menangani kes pelepasan efluen terlarang yang menyebabkan pencemaran di beberapa loji rawatan kumbahan sekitar Taman Perindustrian Puchong semalam.
Operasi itu diketuai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan turut disertai Indah Water Konsortium, Jabatan Alam Sekitar, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.
Menurut LUAS, pemeriksaan memfokuskan sebuah premis penyembelihan ayam yang disyaki melepaskan efluen secara tidak teratur sehingga berpotensi menjejaskan kualiti sumber air berhampiran.
LUAS menjelaskan bahawa semakan tapak memberi tumpuan kepada kesan terhadap sumber air termasuk pembuangan air kembalian dan sebarang pelepasan bahan buangan yang boleh menimbulkan risiko pencemaran.
Susulan pemeriksaan, LUAS mengeluarkan notis keperluan permohonan lesen di bawah inisiatif Zero Discharge Policy kepada premis berkenaan.
Agensi itu turut mengingatkan semua premis penternakan supaya sentiasa mematuhi peraturan pelepasan efluen, mendapatkan lesen di bawah inisiatif ZDP dan memastikan operasi tidak mencemarkan sumber air.
8/12/2025
