Langkah Umno Puchong’ tak akan melarat ke Putrajaya, kata penganalisis

PETALING JAYA: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka kekal utuh, menurut penganalisis yang menegaskan sebarang keputusan untuk memutuskan hubungan politik perlu dibuat dengan penuh berhati-hati.

Mengulas tindakan Umno Puchong memutuskan kerjasama dengan PH di peringkat kawasan, penganalisis politik Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berpandangan bahawa langkah serupa di peringkat kerajaan perpaduan Persekutuan berisiko menjejaskan kedudukan Umno dalam landskap politik nasional.

Beliau berkata selain bergerak secara solo, BN mempunyai pilihan yang terhad, antaranya bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau menghidupkan semula kerjasama dengan komponen tertentu melalui cadangan mengaktifkan semula Muafakat Nasional (MN).

“Bergabung dengan PN bukan jalan keluar kerana gabungan itu sedang bergolak dan hanya akan menambah krisis,” katanya, merujuk krisis politik di Perlis serta percanggahan pandangan berhubung calon perdana menteri pada PRU16.

“Pilihan paling realistik ialah kekal dalam kerajaan perpaduan, namun Umno perlu lebih agresif menekan PH supaya akar umbi melihat parti itu masih memperjuangkan kepentingan mereka.

“Jika tidak, Umno berisiko kehilangan pengaruh dan hanya menjadi penonton dalam politik nasional,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).
Beliau mengulas sama ada tindakan Umno Puchong itu berpotensi merebak ke peringkat Persekutuan dan negeri-negeri lain.

Tindakan Umno Puchong dibuat susulan kegagalan Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin, memohon maaf atas hantaran media sosial yang dilihat “meraikan” keputusan mahkamah menolak rayuan tahanan rumah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

Sementara itu, penganalisis politik Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpandangan keputusan Umno Puchong itu tidak akan menjejaskan hubungan BN-PH di peringkat nasional.

Beliau berkata hubungan antara kepimpinan tertinggi parti-parti dalam kerajaan perpaduan masih kukuh dan isu tersebut lebih bersifat simbolik sebagai tanda ketidakpuasan hati terhadap tindakan Yeo.

“Ia lebih kepada isyarat pendirian Umno tanpa mengganggu kestabilan kerajaan perpaduan,” katanya.

29/12/25