KUALA LUMPUR: Peruncit dan pengedar jubin, permukaan batu, peralatan mandian serta dapur di bawah jenama Jubin BMS, BMS Holdings Bhd (BMS Holdings) terus mempercepatkan strategi pertumbuhannya dengan pembukaan bilik pameran runcit baharu di Puchong, susulan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad baru-baru ini.
Bilik pameran yang terletak di Kinrara itu berkeluasan 6,481.26 kaki persegi dan disasarkan untuk memenuhi permintaan tinggi daripada kawasan perumahan serta komersial berkepadatan tinggi merangkumi Puchong, Sunway dan Bukit Jalil.
Lokasi berkenaan turut menawarkan keterlihatan komersial yang kukuh, akses mudah serta kemudahan tempat letak kereta yang luas.
Pengarah Urusan BMS Holdings, Ang Kwee Peng, berkata pembukaan bilik pameran Puchong mencerminkan pendekatan pengembangan berdisiplin syarikat yang menekankan kualiti lokasi, akses pelanggan dan potensi pasaran jangka panjang.
Disyorkan
-
Eco-Shop catat untung bersih suku kedua lebih besar RM61.89 juta
-
Malton mahu ceburi perniagaan motosikal elektrik bersama syarikat China
-
Kone direhatkan akibat kecederaan hamstring
-
[Pandu Puteri terus angkat nilai persahabatan, perpaduan sebagai asas]
“Bilik pameran ini mengukuhkan kehadiran kami di antara koridor pembaikan rumah paling aktif di Lembah Klang, selain menyokong komitmen BMS untuk menawarkan pengalaman runcit yang lebih baik serta memperkukuh penglibatan dengan pemilik rumah dan pelanggan profesional,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, keseimbangan antara pembangunan baharu dan kawasan perumahan sedia ada di sekitar lokasi itu dijangka menyokong permintaan berterusan daripada pemilik rumah serta segmen pengubahsuaian.
Bilik pameran itu dikendalikan secara sewaan dan direka bagi menawarkan pengalaman runcit yang lebih tersusun serta berpusatkan pelanggan.
Bagi merangsang tarikan awal, BMS Holdings melaksanakan promosi pembukaan, aktiviti hujung minggu dan inisiatif penglibatan pelanggan, termasuk usaha merekrut pereka dalaman serta kontraktor ke dalam program kesetiaan syarikat.
Usaha itu turut diperkukuh menerusi strategi pemasaran dari pelbagai saluran merangkumi carian Google, Peta Google dan platform media sosial utama.
Pembukaan bilik pameran Puchong itu menandakan pelaksanaan awal pelan pengembangan runcit BMS Holdings seperti digariskan dalam prospektus syarikat, yang merangkumi pembukaan tujuh bilik pameran runcit baharu di Lembah Klang antara 2026 hingga 2028, selain pembangunan bilik pameran binaan khas lengkap kemudahan penyimpanan di Seremban, Negeri Sembilan.
Selepas Shah Alam, BMS Holdings turut memperoleh tapak milik sendiri di Rawang bagi pengembangan masa hadapan di Lembah Klang, manakala pembinaan bilik pameran Seremban dijangka berjalan mengikut garis masa yang dirancang.
Secara keseluruhan, pengembangan runcit di Lembah Klang melibatkan anggaran kos RM36.5 juta, dengan RM9.7 juta dibiayai daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO), manakala bakinya melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank.
Bagi projek Seremban pula, kos dianggarkan berjumlah RM10.5 juta, disokong RM3.3 juta daripada hasil IPO.
BMS Holdings akan terus menumpukan pengembangan runcit berasaskan data dengan penekanan kepada lokasi strategik yang mempunyai asas permintaan kukuh dan kemampanan jangka panjang, sejajar komitmen syarikat terhadap pengurusan modal berhemat dan penciptaan nilai kepada pemegang saham.
2026-01-27T03:06:00Z
Sources: BMS Holdings buka bilik pameran baharu di Puchong
