Bekas ahli politik pula didakwa buat ugutan di rumah Cikgu Chandra


Rumah Cikgu Chandra Diserang Lagi, Kali Ini Didatangi Bekas Ahli Politik

SERDANG: Kediaman aktivis S. Chandrasegaran, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra, sekali lagi menjadi sasaran serangan dan ugutan, kali ini membabitkan seorang bekas ahli politik yang juga dikenali sebagai pempengaruh media sosial.

Cikgu Chandra berkata, insiden berlaku kira-kira jam 8.15 pagi tadi apabila lelaki berkenaan hadir bersama beberapa individu lain ke rumahnya dan bertindak agresif.

“Kejadian berlangsung hampir setengah jam. Mereka bertindak agresif dan melakukan provokasi. Bagaimanapun keadaan terkawal kerana polis telah pun ditempatkan di kawasan perumahan saya bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan bahawa Cikgu Chandra tetap berkeras untuk terus mendiami kediamannya dan tidak akan berpindah walaupun berdepan ancaman.

Polis sebelum ini telah membuka dua kertas siasatan berhubung insiden khianat serta ugutan jenayah yang membabitkan Cikgu Chandra di perumahan Taman Kinrara, Puchong, masing-masing pada 9 Mac lalu dan kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar dilaporkan berkata, bagi insiden pertama, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta ugutan jenayah.

Manakala bagi insiden kedua, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung kejadian khianat dengan api yang membabitkan kenderaan di lokasi sama.