Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama pagi ini

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan setakat pagi ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan, selain kemalangan dan kenderaan rosak.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1 arah selatan, kesesakan sepanjang tujuh kilometer dikesan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar berikutan kemalangan di KM 231.4.

“Kerja pembersihan kesan kemalangan sedang dijalankan dan lorong kanan masih terhalang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bagi laluan PLUS E2, trafik dilaporkan perlahan dari Setia Tropika ke Dato’ Onn, manakala kelewatan dijangka dari Sedenak ke Senai Utara berikutan kenderaan rosak di KM 22.8 arah selatan yang menghalang lorong kecemasan dan kiri.